10 HAK YANG MESTI DITUNAIKAN
Sebelum Imam Syafie pulang ke rahmatullah, beliau sempat berwasiat kepada para muridnya dan umat islam seluruhnya.Berikut ialah kandungan wasiat tersebut: "Barangsiapa yang ingin meninggalkan dunia dalam
keadaan selamat maka hendaklah ia mengamalkan sepuluh perkara."

Pertama: Hak kepada diri
Iaitu: Mengurangkan tidur, mengurangkan makan, mengurangkan percakapan dan berpada-pada dengan rezeki yang ada.

Kedua: Hak kepada malaikat maut
Iaitu: Mengqadhakan kewajipan-kewajipan yang tertinggal, mendapatkan kemaafan dari orang yang kita zalimi, membuat persediaan untuk mati dan merasa cinta kepada Allah.

Ketiga: Hak kepada kubur
Iaitu : Membuang tabiat suka menabur fitnah, membuang tabiat kencing merata-rata, memperbanyakkan solat Tahajjud dan membantu orang yang dizalimi.

Keempat: Hak kepada munkar dan nakir
Iaitu : Tidak berdusta, berkata benar, meninggalkan maksiat dan nasihat menasihati.

Kelima: Hak kepada mizan (neraca timbangan amal kepada hari kiamat)
Iaitu : Menahan kemarahan, banyak berzikir, mengikhlaskan amalan dan sanggup menanggung kesusahan.

Keenam: Hak kepada sirat (titian yang merentangi neraka pada hari akhirat)
Iaitu : Membuang tabiat suka mengumpat, bersikap warak, suka membantu orang beriman dan suka berjemaah.

Ketujuh: Hak kepada Malik (penjaga Neraka)
Iaitu : Menangis lantaran takutkan Allah SWT, berbuat baik kepada ibu bapa,bersedekah secara terang-terangan serta sembunyi dan memperelok akhlak.

Kelapan: Hak kepada Ridhwan (malaikat penjaga Syurga)
Iaitu : Berasa redha dengan Qadha' Allah, bersabar menerima bala,bersyukur ke atas nikmat Allah dan bertaubat dari melakukan maksiat.

Kesembilan: Hak kepada Nabi SAW
Iaitu : Berselawat ke atas baginda, berpegang dengan syariat, bergantung kepada as-Sunnah (Hadith), menyayangi para sahabat, dan bersaing dalam mencari keredhaan Allah.

Kesepuluh: Hak kepada hamba Allah
Iaitu : Mengajak manusia ke arah kebaikan, mencegah manusia dari kemungkaran, menyukai ketaatan dan membenci kemaksiatan.