KELEBIHAN SURAH AL-IKHLAS
Anas bin Malik ra berkata : Sewaktu kami bersama-sama Rasulullah SAW di Tabuk, maka terbitlah matahari yang mana cahayanya belum pernah terlihat seperti itu sebelumnya. Jauhnya cahaya itu dari Rasulullah SAW dengan kota Madinah ialah sebulan perjalanan. Maka pada suatu hari terbitlah matahari dalam keadaan redup, dan turun malaikat Jibril as. Apabila melihat kedatangan Jibrail as maka Rasulullah SAW pun bertanya : "Wahai Jibril, kenapa matahari hari ini terbit dalam keadaan redup?". Berkata malaikat Jibril as : "Matahari hari ini nampak seperti redup adalah kerana terlampau banyaknya sayap para malaikat".

Berkata Rasulullah SAW : "Apakah halnya maka terjadi demikian?". Berkata Jibril as :"Ini adalah kerana Mu'awiyah meninggal dunia di Madinah, Allah SWT telah mengutus seramai 70,000 malaikat supaya membaca selawat untuk Mu'awiyah". Berkata Rasulullah SAW : "Apa sebabnya?". Berkata Jibril as "Ini adalah kerana Mu'awiyah itu selalu banyak membaca 'Qul huwallaahu Ahad' di waktu malam, di waktu siang, sewaktu berjalan, sewaktu berdiri, sewaktu duduk, waktu pergi, waktu balik bahkan setiap keadaan".

Berkata Jibril as : "Ya Rasulullah SAW, mahukah kamu aku menggenggam bumi ini supaya bumi ini membaca selawat untuk Mu'awiyah?". Bersabda Rasulullah SAW : "Ya Jibril, teruskan". Setelah mendapat perintah dari Rasulullah SAW maka Jibril as pun memukul kedua belah sayapnya pada bumi sehingga bumi menjadi sempit.

Kemudian diangkatnya sehingga Rasulullah SAW dapat melihat di belakangnya diiringi oleh malaikat yang berbaris-baris, setiap satu baris itu ada 70,000 para malaikat. Setelah itu Rasulullah SAW pun mengerjakan solat untuk Mu'awiyah. Surah Al-Ikhlas memang banyak kelebihannya, sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :-

"Barangsiapa membaca surah Al-Ikhlas sewaktu sakit sehingga dia meninggal dunia, maka dia tidak akan membusuk di dalam kuburnya, akan selamat dia dari kesempitan kubur. Dan para malaikat akan membawanya dengan sayap mereka melintasi titian shiratul mustaqim dan menuju ke Syurga". (Demikian diterangkan dalam Tadzkiratil Qurthuby)

SURAH AL-IKHLAS TERTULIS DI SAYAP PARA MALAIKAT
Berkata Ibnu Abbas ra bahawa Rasulullah SAW telah bersabda :"Ketika saya (Rasulullah SAW) ber'israk ke langit, maka saya telah melihat Arsy di atas 360,000 sendi dan jarak jauh antara satu sendi ke satu sendi ialah 300,000 tahun perjalanan. Pada tiap-tiap sendi itu terdapat padang sahara sebanyak 12,000 dan luasnya setiap satu padang sahara itu seluas dari timur hingga ke barat. Pada setiap padang sahara itu terdapat 80,000 malaikat yang mana kesemuanya membaca surah Al-Ikhlas (Qul huwallaahu ahad)".

Sabda Rasulullah SAW lagi : "Setelah mereka selesai membaca surah tersebut maka berkata mereka; Wahai Tuhan kami, sesungguhnya pahala dari bacaan kami ini kami berikan kepada orang yang membaca surah Al-Ikhlas baik ianya lelaki mahupun perempuan". Apabila para sahabat mendengar keterangan dari Rasulullah SAW maka mereka sangat kagum. Kemudian Rasulullah SAW bersabda lagi : "Wahai para sahabat ku, apakah kamu semua kagum?". Berkata para sahabat : "Ya,kami sungguh kagum Ya Rasulullah SAW".

Rasulullah SAW bersabda : "Demi Allah yang jiwa ku di tanganNya, sesungguhnya 'Qul Huwallahu ahadun' itu tertulis di sayap malaikat Jibril as; 'Allahush Shomad' itu tertulis di sayap malaikat Mikail as; "Lamyalid walam yuulad" tertulis pada sayap malaikat Izrail as; "Walam yakun lahu kufuwan ahadun" tertulis pada sayap Israfil as. Oleh itu, barangsiapa dari umat ku membaca surat Al-Ikhlas maka dia diberi pahala membaca kitab Taurat, Injil, Zabur dan Al-Quran yang agung".

Setelah Rasulullah SAW berkata demikian maka Baginda bersabda lagi :"Wahai para sahabat ku, apakah kamu semua kagum?". Maka berkata para sahabat : "Ya Rasulullah SAW, kami semua kagum". Lalu Rasulullah SAW bersabda "Demi Allah yang jiwa ku di tanganNya, sungguh 'Qul huwallahu ahadun' itu tertulis di dahi Abu Bakar Ash-Sidiq, 'Allahush Shomad' itu tertulis
di dahi Umar Al Faaruq, 'Lamyalid walam yuulad' itu tertulis di dahi Usman Dzan Nuuraini dan 'Walam yakun lahu kufuwan Ahadun' itu tertulis di dahi Ali Assakhiyyi ra. Oleh itu sesiapa yang membaca surah Al-Ikhlas maka diberi oleh Allah SWT pahala Abu Bakar, Umar, Utsman dan Ali ra". (Hayatun Quluubi)

Wallahua'lam.