ISTILAH CINTA BERBEZA
Ramai pasangan yang melafazkan cinta, tetapi sebenarnya mereka tidak mengetahui mengapa dan kenapa mereka bercinta. Alam percintaan sememangnya indah, bagi pasangan yang sedang asyik dilamun cinta, dunia ini ibarat mereka yang punya.

Namun begitu masih ramai yang tidak mengetahui apa itu cinta dan bagaimana mahu menjadikan ikatan cinta yang dijalin akan terus membawa ke jinjing pelamin.

Kefahaman tentang konsep cinta antara lelaki dan wanita perlu diketahui serba sedikit agar hubungan cinta yang dijalin tidak membawa kepada kekecewaan.

Bagi wanita cinta adalah sejenis emosi. Kepada orang lelaki cinta adalah suatu peristiwa, suatu kejadian dan bukannya emosi. Setiap peristiwa mempunyai permulaan dan penghujung. Oleh itu bagi orang lelaki sekali mereka jatuh cinta dengan wanita, maka cinta itu akan terus kekal jika tiada halangan yang menimpa.

Oleh sebab itu, lelaki apabila telah melafazkan cintanya kepada wanita, tidak kiralah melalui apa sekali pun, sama ada ikatan janji yang diucapkan sesama sendiri, ikatan tali pertunangan, mahupun melalui pernikahan, maka baginya selepas itu perkataan cinta tidak perlu disebut-sebut lagi.

Berlainan pula dengan wanita, mereka mahu sentiasa mendengar kata-kata belaian kasih dibisikkan di telinga mereka walaupun seribu kali dalam sehari. Inilah yang menjadi perbezaan ketara istilah "cinta" bagi lelaki dan wanita.

Apabila seseorang lelaki telah berkahwin, mereka beranggapan perkataan "cinta" tidak perlu lagi dilafazkan. Inilah punca utama yang sering terjadi, wanita atau isteri merasa kecil hati, tidak lagi dihargai malah ada ketikanya mereka merasakan si suami tidak lagi kasih kepadanya. Ada yang lebih parah apabila mengatakan si suami mempunyai kekasih lain.

Wanita mahukan cinta dizahirkan dengan cara perkataan juga perbuatan. Pusat cinta dan kemesraan perhubungan bagi wanita dan lelaki ialah dengan aktiviti bercakap-cakap dan berbincang mengenainya.

Pusat cinta bagi lelaki pula ialah aktiviti fizikal, begitu juga pusat hubungan nikmat kemesraan hubungan dengan pasangannya. Mereka lebih suka melakukan pelbagai aktiviti bersama pasangannya dan melalui cara ini mereka telah menzahirkan perasaan cinta.

Berdasarkan pada hakikat ini, pihak wanita perlu memahami hasrat dan cara lelaki mebicarakan soal cinta. Mereka perlu turut serta dalam aktiviti yang diminati pasangannya.

Contohnya, jika si lelaki mempunyai hobi memancing, sekali sekala si isteri pergi bersama dan dalam keadaan begini si suami merasai dicintai dan disayangi.

Lelaki juga perlu ambil tahu akan keinginan pasangannya. Apalah salahnya jika mengucapkan kata-kata cinta pada hari istimewa si isteri seperti hari ulang tahun perkahwinan atau hari ulangtahun kelahirannya.

Adalah lebih baik jika diberikan hadiah-hadiah yang lebih romantik seperti bunga, cincin idaman dan sebagainya. Dengan kesefahaman kedua-dua belah pihak maka kehidupan akan menjadi lebih ceria dan gembira.

Penulis : Cobraeite