ALBUM PENYANYI TEMPATAN TIDAK LAKU: BENARKAH CETAK ROMPAK PUNCANYA?
Wartawan : Apa pesanan terakhir you buat semua peminat-peminat you kat luar sana?

Artis : Selamatkanlah industri hiburan kita. Janganlah beli album cetak rompak, belilah yang original.

Dialog tersebut telah menjadi satu kebiasaan apabila wartawan mewawancara artis di negara kita. Tidak dapat tidak, ayat di atas akan terpacul dari mulut seorang insan yang bernama penyanyi. Artis tanahair kita sedang menghadapi detik runcing dalam kerjaya mereka terutamanya bagi mereka yang bergelar penyanyi. Habis duit dilaburkan untuk menghasilkan album, ditambah lagi untuk tujuan promosi, kononnya akan membawa pulangan yang berbaloi. Namun disebalik kerja-keras tersebut, pulangan yang diterima amat menyedihkan. Untuk mendapatkan kembali modal yang dilaburkan juga amat perit, inikan pula mengimpikan keuntungan yang berlipat kali ganda hasil jualan album mereka. Adakah benar dakwaan majoriti artis tanahair bahawa kegiatan cetak rompak menjejaskan periuk nasi mereka? Atau mereka hanya menjadikan cetak rompak sebagai alasan katidaklakuan album mereka. Mari kita sama-sama berfikir dan memerhatikan persekitaran kita.

Jika anda sering mengunjungi lubuk VCD cetak rompak seperti pasar-pasar malam, Jalan Petaling dan sesetengah kompleks membeli-belah ( Plaza Imbi tidak termasuk kerana di sana hanya menjual perisian komputer cetak rompak bukannya album cetak rompak), berjayakah anda mengesan atau menemui album artis tempatan yang dijual dalam versi cetak rompak? Berani saya nyatakan di sini bahawa kebarangkalian anda akan menjumpai album artis tanahair yang dicetak rompak amatlah tipis. Silap-silap, tiada langsung album artis kita yang dijumpai di lubuk-lubuk VCD cetak rompak tersebut. Jika ada pun, jumlahnya bagaikan langit dan bumi berbanding album artis luar negara yang dicetak rompak. Jika anda bernasib baik terjumpalah anda dengan album Senario, Raihan, Siti Nurhaliza dan mungkin juga Too Phat yang dicetak rompak. Mungkin disebabkan mereka telah establish dan diakui mempunyai ramai peminat di negara kita berbanding artis-artis lain.

Souce: Namirahs