Saya ingin mengulas sedikit mengenai perkara-perkara yang akan berlaku di akhir zaman kepada orang-orang Muslimin yang bertaqwa kepada Allah SWT yang menciptakan kita semua. Semoga kita semua sedar betapa pentingnya taqwa kita kepada Allah yang tidak memerlukan sesiapa supaya kita terselamat daripada fitnah dunia ini yang semakin teruk. Telah bersabda Nabi s.a.w. bahawa masa untuk kiamat setelah wafatnya Rasulullah s.a.w. amat singkat sekali dan sebagai tanda isyarat Nabi s.a.w. menunjukkan jari penunjuk dan ibu jarinya. Juga beberapa tanda kecil kiamat telahpun berlalu seperti wafatnya Rasulullah dan bulan terbelah dua setelah diisyaratkan oleh Baginda s.a.w.

Pada masa akhir zaman, orang ramai akan kembali semula ke zaman jahiliyyah. Pada pagi hari seseorang itu memperlihatkan dirinya sebagai seorang Muslim seperti pergi ke masjid dan sebagainya. Pada petangnya, dia menunjukkan kekafirannya seperti meminum arak dan bergaul secara bebas dengan perempuan atau pergi ke tempat-tempat maksiat pada waktu malam. Allah SWT berfirman dalam Al-Quran bahawa pada zaman Rasulullah s.a.w. lebih kurang satu pertiga daripada umat beliau s.a.w. mendapat tempat di syurga dan pada akhir zaman, amat sedikit sekali mendapat tempat di syurga. Melainkan orang-orang yang bertaqwa dan berkorban bersusah payah kerana Tuhannya.