MAYAT ORANG MURTAD KELUAR DARI KUBUR
DALAM kitab suci al-Quran Allah Ta-ala ada menyebut dalam banyak ayat mengenai orang-orang munafik. Golongan munafik ini di dalam Neraka kelak, mereka ditempatkan yang paling bawah sekali. Azab yang merekaterima amat pedih, dan keras sekali.

Pada zaman Rasulullah s.a.w. memang ramai orang-orang munafik ini. Mereka berpura-pura di depan Rasul, konon mereka beriman, tetapi sebenarnya mereka tidak beriman. Diantara ayat yang disebutkan Allah dalam kitab suci al-Quran mengenai orang-orang munafik ini ialah dalam surah An-Nisa ayat 145, Allah berfirman yang maksudya: "Sesungguhnya orang-orang munafik ini (ditempatkan) pada darjat yang paling bawah di dalam neraka, maka tidak akan dapat engkau carikan mereka penolong." Walaupun orang kafir dan munafik sama-sama masuk neraka, namun tempat munafik adalah yang paling bawah sekali, kerana dipandang lebih hina. Orang-orang munafik ini disifatkan sebagai musuh dalam selimut bagi orang-orang yang beriman. Dia bersama-sama orang muslim, tetapi hatinya bersama orang lain. Sementara itu orang yang murtad, lain pula caranya.

Orang-orang yang murtad ini ada dua peringkat.

PERTAMA: Mereka yang memang Islam, tetapi kemudian meninggalkan agama asal iaitu Islam menganut agama lain.

KEDUA: Mereka yang pada mulanya bukan beragama Islam, kemudian memeluk Islam, tetapi kemudiannya kembali semula ke agama asalnya.

Apa kira pun, kedua-dua peringkat atau golongan ini tetap berdosa besar. Tahapnya lebih kurang dengan golongan munafik ini. Dalam kisah dari kitab kali ini apa yang mahu diceritakan ialah mengenai seorang yang murtad. Dulunya beragama Kristian, kemudian memeluk agama Islam, tetapi tidak lama kemudian kembali semula ke agama asalnya, jadilah ia murtad.

Kisahnya, apabila dia meninggal dunia, dan kemudian dikebumikan, tetapi pada keesokan hari mayatnya dilihat berada di atas kubur. Hal ini berlaku sehingga beberapa kali, sehingga ia dibiarkan begitu sahaja, yang seolah-olah bumi tidak mahu menerima orang murtad.

Kisah yang diceritakan ini berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w. masih ada lagi, di mana terjadi mayat seorang Kristian terbongkar keluar dari kuburnya. Peristiwa ini telah menggemparkan penduduk-penduduk terutama penganut-penganut agama Kristian. Mereka berpendapat dengan terbongkarnya kubur itu, seolah-olah dilakukan oleh orang-orang Islam itu sendiri.

Sahabat Rasulullah s.a.w, Anas r.a. telah meriwayatkan peristiwa ini yang katanya: "Ada seorang yang beragama Kristian telah memeluk agama Islam. Dia telah membaca al-Quran surah al-Baqarah dan surah Ali Imran. Dia juga sering menulis wahyu dari Rasulullah s.a.w. Tetapi malangnya tidak lama kemudian orang itu telah kembali murtad semula kepada agama Kristian. Dia berkata: "Muhammad tidak tahu apa-apa pun dengan apa yang aku tuliskan untuknya".

Tidak lama kemudian Allah Taala telah mematikannya, lalu orang itu dikebumikan. Bila upacara pengkebumian selesai dijalankan, orang ramai pulang ke rumah masing-masing. Pada esok siangnya di dapati mayat orang itu telah terkeluar dari kuburnya. Peristiwa itu memperlihatkan bahawa seolah-olah bumi tidak mahu menerima jasadnya itu. Lalu mereka yang mengkebumikan mayat itu berkata: "Ini sudah tentulah perbuatan Muhammad dan para sahabatnya. Merekalah yang membongkar kubur ini dan meletakkan mayat ini di atasnya, kerana dia telah berpaling tadah daripadanya." Mereka pun menggali kubur sekali lagi. Kali ini mereka menggali lubang lebih dalam lagi dengan harapan supaya tidak ada orang yang membongkarnya. Selepas menggalinya sebagaimana semestinya, maka mayat rakannya itu dikebumikan semula seperti biasa. Tetapi pada esok siangnya mereka terkejut sekali lagi apabila mereka mendapati mayat kawannya itu terbongkar dan berada di atas kubur itu.

Mereka pun membuat tuduhan yang sama di mana Muhammad dan sahabat-sahabatnya yang melakukannya. Mereka menggali semula kubur yang lebih dalam lagi dan mengkebumikan semula mayat rakannya, tetapi kejadian yang sama berlaku lagi pada esok siangnya, di mana kubur yang terbongkar dan kelihatan mayat rakannya berada di atas kubur tersebut. Akhirnya mereka mengakui bahawa ini bukanlah perbuatan Muhammad dan para sahabatnya, tetapi sudah ditakdirkan rakannya jadi begitu yang barang kali kerana sikap-nya yang murtad itu. Mayat rakannya itu dibiarkan sahaja, dan tidak dikuburkan."

Begitulah satu cerita yang telah diriwayatkan oleh Anas r.a. terhadap seorang lelaki yang murtad, di mana bumi tidak menerima jasadnya. Kisah ini sudah tentulah menjadi iktibar kepada kita semua yang terkemudian.

Wallah hu aalam.

Hidayah July 1999